Thursday, 10 September 2015

ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA (ANG SHI MIN)

Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 mendefinasikan pemerdagangan orang sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, perlindungan, penyediaan, atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi seperti menjadi mangsa-mangsa sebagai pelacur, menjual organ manusia yang didagangkan, dijadikan hamba abdi atau buruh paksa dan berkemungkinan dibunuh . Tindakan ini dilakukan dengan ugutan dan kekerasan, penipuan atau melalui salah guna kuasa. Masalah ini semakin hari semakin serius kerana didorong oleh pelbagai punca .
Pemerdagangan manusia sebenarnya berkait dengan keadaan kemiskinan . Mereka yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia biasanya berasal daripada keluarga yang miskin . Oleh itu , mereka yang miskin sudah tentu ingin menambah baik taraf hidup mereka dengan apa jua cara yang mudah . Antara cara yang boleh diambil oleh mereka adalah dengan berhijrah ke negara yang lebih maju dan banyak mempunyai peluang pekerjaan. Untuk berhijrah ke negara yang lebih maju, mereka perlu berusaha dengan pihak-pihak tertentu. Pada masa yang sama, terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan seperti agensi perekrutan. Agensi ini membawa migran ke negara lain dan memaksa migran menjadi buruh paksa atau pelacur. Tambahan pula , kemiskinan dan kedaifan hidup juga menyebabkan terdapat ibu bapa yang terpaksa menjual anak-anak mereka . Mereka dijanjikan oleh para broker bahawa anak-anak mereka akan mempunyai masa depan yang baik . Hakikatnya , broker biasanya akan menjual anak-anak itu kepada kumpulan pemilik hamba (slaveholders) pula dan hal ini menyebabkan ramai yang terjebak dalam pelacuran tanpa kerelaan mereka .

Seterusnya , tahap kesedaran masyarakat terhadap isu pemerdagangan manusia yang rendah juga mengakibatkan jenayah tersebut terus berleluasa . Masyarakat yang bersikap seperti katak di bawah tempurung menjadi punca yang memangkin kewujudan pelbagai jenayah pada masa ini . Masyarakat kini lebih suka mementingkan diri mereka dan tidak peka terhadap situasi di sekeliling mereka . Keengganan masyarakat untuk mengambil tahu tentang isu semasalah menyebabkan situasi seperti ini berlaku . Lebih membimbangkan lagi apabila masyarakat mendiamkan diri meskipun tahu tentang kewujudan sindiket pemerdagangan manusia di kawasan tempat tinggal mereka . Hal ini jelas menunjukkan masyarakat yang mendiamkan diri akan menyebabkan jenayah pemerdagangan manusia terus melarat .

Di samping itu , masalah pemerdagangan manusia juga semakin berleluasa kerana penguatkuasaan yang lemah oleh pihak kerajaan . Penguatkuasaan ini terdiri daripada Kementerian Dalam Negeri , Jabatan Imigresen dan Kementerian Sumber Manusia . Hal ini dikatakan demikian kerana terdapatnya pengawal dalam penguatkuasaan pemerdagangan ini terlibat dengan rasuah . Rasuah ini wujud semasa urusan kemasukan dan pengendalian para pekerja asing ke Malaysia oleh pegawai-pegawai di Malaysia . Kelemahan ini dilihat paling ketara kerana masih terdapat segelintir pegawai yang sanggup menerima rasuah dan mengabaikan tugas mereka . Tegasnya , gejala rasuah ini memang membawa implikasi yang buruk kepada negara kerana aktiviti pemerdagangan manusia semakin berleluasa .

Tidak dapat dinafikan bahawa isu pemerdagangan manusia banyak berlaku di Malaysia . Berada di kedudukan di tengah-tengah negara Asian , Malaysia merupakan antara lokasi strategik sama ada sebagai negara destinasi atau negara transit bagi pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran . Ditambah dengan lambakan sarang pelacuran , pusat hiburan dan rumah urut serta kedatangan pelancong dan pekerja asing ke Malaysia menggalakkan lagi sindiket pelacuran yang membawa masuk secara sah ataupun haram gadis dari China , Indonesia , Thailand dan India untuk memenuhi permintaan pelanggan ini terbukti berdasarkan jumlah tangkapan yang dilakukan dalam operasi serbuan oleh polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ke tempat-tempat disyaki sarang pelacuran dan rumah urut di sekitar bandar-bandar besar di negara ini .

Di Malaysia , isu ini biasanya berlaku di kawasan-kawasan kemiskinan yang sering kali berlaku ledakan pertambahan penduduk . Dengan pertambahan penduduk yang ramai ini , jumlah mereka yang mencari pekerjaan juga bertambah . Keadaan terdesak ini menyebabkan mereka akhirnya terjebak dalam perangkap perdagangan manusia . Di kawasan kemiskinan yang kronik , ada kalanya ahli-ahli keluarga dijadikan cagaran semasa membuat pinjaman wang . Terdapat kemungkinan sesebuah keluarga tidak dapat menjelaskan pinjaman kerana faktor-faktor seperti hasil pertanian tidak menjadi atau berlakunya wabak di kawasan mereka . Apabila gagal melunaskan hutang , terdapat ahli keluarga yang terpaksa diserahkan kepada peminjam wang . Hal ini menunjukkan kawasan-kawasan kemiskinan merupakan tempat yang sering berlaku pemerdagangan manusia .

Selain itu , isu ini juga banyak berlaku di kalangan wanita . Hal ini dikatakan demikian kerana golongan wanita yang tidak dapat mempertahankan diri sendiri dan lemah selalunya dipaksa untuk membuat sesuatu yang tidak diingini seperti pengambilan dadah , GRO atau pelacuran . Ini bermaksud hak kaum wanita dan maruah kaum wanita langsung tidak dihormati . Kaum wanita juga mudah ditipu muslihat oleh penjenayah . Wanita yang terpengaruh dengan tipu muslihat dipergunakan untuk melakukan perbuatan pelacuran dan seks bebas . Selain itu , tugasan yang diberi kepada mereka ialah menjual pil estacy atau mengedar heroin di tempat awam seperti disko atau pub . Pemuda tersebut akan terperangkap dalam penipuan dan akhirnya tidak dapat melepaskan diri .

Disebabkan masalah ini , jenayah ini telah mendatangkan pelbagai kesan negatif yang turut menjejaskan kedaulatan Malaysia . Kesan utama yang menjadi punca adalah mencemarkan nama baik Malaysia dalam arena antarabangsa . Kedudukan Malaysia dalam senarai 16 negara berprestasi buruk dalam mengekang isu pemerdagangan manusia bukanlah pencapaian yang patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia . Malahan kedudukan ini menunjukkan negara lemah dalam mentadbir negara dan memperkasakan undang-undang . Masalah ini juga menjejaskan pertumbuhan ekonomi di Malaysia . Pelabur-pelabur asing akan berasa ragu-ragu untuk melabur di negara ini kerana gagal menunjukkan keprihatinan terhadap isu global ini .

Selain itu , impak seterusnya ialah berlakunya peningkatan masalah sosial di negara kita . Sambil memetik beberapa perangkaan , Dr Azizah berkata kes melibatkan wanita dieksploitasi tahun 2014 ini sahaja berjumlah 217 diikuti buruh paksaan sebanyak 70 , melanggar undang-undang imigresen 38 dan penjualan bayi 30 . Hal ini menyebabkan masalah sosial akan bertambah merebak dan masyarakat seperti berpeleseran , pelacuran , seks bebas , minum arak dan sebagainya . Hal ini mengakibatkan imej negara kita tercemar di mata dunia . Aktiviti pemerdagangan manusia juga menjejaskan hubungan diplomatik antara negara lain . Pemerdagangan manusia adalah sejenis aktiviti yang melanggar hak sesebuah negara dan isu-isu yang berlaku menjejaskan hubungan diplomatik antara negara luar .
Peningkatan pemerdagangan manusia dan penyeludupan masuk pendatang berkemungkinan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara . Sebagai contohnya , ramai yang tidak sedar dan tahu bahawa setiap tahun kira-kira 20 billion paun yang mengalir keluar dari negara akibat daripada aktiviti tersebut . Tambahan pula , kata Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa , Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Azizah Kassim dalam satu kertas kerja yang dibentangkan pada bengkel Pemberitaan Mengenai Pemerdagangan Manusia di sini baru-baru ini , “Ia tercemar nama baik Malaysia dalam arena antarabangsa melainkan jika kerajaan menyediakan lebih banyak sumber dari segi kewangan dan modal insan bagi membanteras kejadian haram ini.” Keadaan ini menyebabkan berlakunya kerugian yang besar terhadap negara dan ternyata pengaliran wang keluar yang banyak ke luar negara akan menjejaskan ekonomi negara kita .

Memandangakan kesan yang tidak diingini ini terutamanya ke atas rekod hak asasi manusia dan pembangunan ekonomi negara . SUHAKAM menyeru kerajaan untuk mempergiatkan usaha untuk mencegah dan memerangi pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran , dan juga memastikan perlindungan sepenuhnya dan bantuan diberikan kepada mangsa pemerdagangan dan penyeludupan di semua peringkat selaras dengan standard antarabangsa yang ditetapkan oleh Protokol Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencegah , menyekat dan menghukum pemerdagangan manusia terutama di kalangan wanita dan kanak-kanak .

Pertama sekali , penguatkuasaan undang-undang patut dijalankan oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan kegiatan ini semakin berleluasa . Hukuman berat sepatutnya dikenakan kepada sesiapa sahaja yang menjadi datang kepada kegiatan ini . Selain itu , hukuman yang berat sepatutnya dikenakan kepada pihak yang mengambil pekerja daripada sindiket pemerdagangan orang ini . Hal ini amat penting kerana ketiadaan hukuman yang berat membuatkan seseorang berani untuk menjalankan kegiatan jenayah pemerdaganagn manusia . Jelaslah di sini bahawa penguatkuasaan undang-undang sangat penting dalam menangani isu ini .

Kerajaan Malaysia amat memandnag serius untuk membanteras jenayah ini dan telah menubuhkan Akta Anti Pemerdagangan Orang (AKTA 670) pada tahun 2007 bagi melindungi mangsa dan mengheret si keji yang bertanggungjawab melakukan jenayah ini ke muka pengadilan . Jika seseorang memperdagangkan orang yang bukan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi , dia akan dipenjarakan tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda . Selain itu , jika seseorang mendapatkan keuntungan daripada pengeksploitasian orang yang diperdagangkan , dia juga akan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 tetapi tidak melebihi RM500,000 . Tambahan pula , jika seseorang itu merupakan pegawai penguatkuasa dan dia telah menghalang , merintangi , mengganggu atau gagal untuk mematuhi permintaan yang sah sebagai seorang pegawai penguatkuasa dalam melaksanakan fungsinya di bawah akta ini , dia akan didenda bawah Seksyen 63 dengan denda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya .

Seterusnya , pihak kerajaan juga perlu memastikan kawalan keselamatan adalah ketat . Pihak kerajaan patut mengawal pintu masuk utama negara (lapangan terbang dan sempadan antarabangsa) dan menjayakan semakan terhadap kemasukan pendatang asing . Sistem kawalan keselamatan yang moden dan berteknologi haruslah diguna pakai supaya kawalan dan semakan terhadap kemasukan pendatang asing dapat dijalankan dengan amat efektif dan lancar . Agensi-agensi penguatkuasa seperti pihak polis , Kastam dan Jabatan Martim juga patut memperlipatgandakan usaha dan kerjasama bagi membanteras kes jenayah memperdagangkan orang agar kerjasama semua pihak ini dapat membuahkan hasil dengan berjaya .


Pada pendapat saya , walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai mekanisme dalaman untuk membendung jenayah ini , tetapi para masyarakat di negara kita yang bersikap mementingkan diri sendiri menyebabkan mereka masih melakukan perkara-perkara yang berada di luar nilai kemanusiaan . Justeru , saya yakin bahawa kerjasama daripada semua masyarakat merangkumi masyarakat Maelayu , Cina atau India merupakan jalan penyelesaian paling efektif yang patut dipraktikkan . Janganlah kita hanya berpeluk tubuh dan membiarkan sahaja beban ini dipikul oleh pihak berkuasa . Bak kata pepatah “berat sama dipikul , ringan sama dijinjing”. Marilah kita bersama-sama mengembleng tenaga bagi membanteras jenayah ini agar tiada lagi mereka yang lemah menjadi mangsa kepada jenayah pemerdagangan manusia . 

No comments:

Post a Comment