Wednesday, 9 September 2015

ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA (CHAN JIE YI)

Pemerdagangan manusia merupakan perdagangan dan perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram. Pemerdagangan manusia juga melibatkan tindakan merekrut, memindah, menyimpan manusia dengan tujuan untuk melakukan eksploitasi tertentu. Sebagai contoh, menjadikan mangsa pelacuran sebagai pelacur, menjual organ manusia yang didagangkan, dijadikan sebagai hamba abdi atau buruh paksa. Pemerdagangan ini dilakukan menggunakan cara ugutan dan kekerasan, penipuan atau melalui salah guna kuasa.
Isu pemerdagangan manusia ini bukan sahaja berlaku di luar negara, tetapi berlaku dalam Malaysia juga. Sebagai contoh, terdapat keluarga yang menculik dan menjual kanak-kanak ataupun remaja ke tempat yang lain sebagai urus niaga. Terdapat juga keluarga yang menjual kanak-kanak kaum yang berbeza seperti keluarga Melayu yang menjual kanak-kanak kaum Cina dan keluarga Cina yang menjual kanak-kanak kaum Melayu. Lazimnya, kanak-kanak dan kaum wanita yang sering menjadi mangsa pemerdagangan manusia tetapi terdapat juga orang dewasa dan kaum lelaki yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Isu pemerdagangan manusia ini bukan berlaku di kawasan pedalaman sahaja tetapi berlaku di kawasan bandar juga. Kanak-kanak dan remaja di kedua-dua pedalaman dan bandar berkemungkinan menjadi sasaran dan ‘barangan’ yang baik bagi penjahat yang menjalankan pemerdagangan manusia. Mereka akan diculik atau dipaksa untuk mengikut penjahat tersebut lalu dibawa ke tempat-tempat yang menjalankan pemerdagangan manusia. Seterusnya, mereka mungkin dijadikan sebagai pelacur, hamba atau buruh, malah adanya yang dijualkan organ mereka untuk mengaut wang bagi orang yang menculik mereka.
Terdapat sebab yang menyebabkan kes pemerdagangan berlaku dan salah satu sebabnya ialah keadaan kemiskinan. Kebanyakan mangsa pemerdagangan manusia berasal daripada keluarga yang miskin dan kawasan yang didiami oleh mereka juga dalam keadaan kemiskinan. Di kawasan seperti ini berlakunya masalah pertambahan penduduk dan masalah ini menyebabkan peluang bekerja di kawasan tersebut menjadi semakin kurang. Hal ini mengakibatkan penduduk yang tidak mendapat pekerjaan terjebak dalam perangkap pemerdagangan manusia kerana tertipu dengan jaminan bahawa mereka akan mendapat pekerjaan yang baik di sesuatu tempat, namun dijual ke tempat yang lain.
Kemiskinan dalam sesebuah keluarga juga menjadi sebab berlakunya kes pemerdagangan manusia. Ibu bapa dalam sebuah keluarga yang miskin akan cuba mengurangkan bebanan mereka untuk menanggung ahli keluarga yang terlalu banyak dengan menjual anak-anak mereka kepada orang yang dikenali sebagai broker. Mereka dijanjikan oleh para broker bahawa anak-anak mereka akan mempunyai masa depan yang baik. Namun, anak-anak mereka dijualkan kepada kumpulan milik hamba. Sebagai akibatnya, anak-anak mereka terjebak dalam aktiviti pelacuran tanpa kerelaan mereka. Ibu bapa yang miskin terpaksa menjual anak-anak mereka dengan harapan bahawa anak-anak mereka akan mempunyai kehidupan yang lebih baik tetapi pada akhirnya, kanak-kanak perempuan terpaksa menjalankan kerja-kerja domestik atau dijadikan sebagai pelacur manakala kanak-kanak lelaki dijual sebagai buruh pertanian atau nelayan di laut.
Seterusnya, feomena globalisasi turut menyumbang kepada berlakunya kes pemerdagangan manusia. Kini, globalisasi berperanan sebagai ‘pengiklan tanpa sempadan’ untuk aktiviti pemerdagangan manusia. Beberapa laman web digunakan untuk mengumpul, memasarkan dan mengeksploitasi mangsa-mangsa perdagangan terutamanya perdagangan seks. Kajian telah menunjukkan bahawa internet merupakan fasiliti yang terpenting dalam perdagangan seks komersial. Kumpulan-kumpulan jenayah yang terancang boleh menggunakan internet untuk memperdagangkan wanita sebagai pekerja seks kerana pasaran terhadap perkhidmatan mereka akan menjadi lebih luas dengan akses yang lebih luas.
Pemerdagangan ini membawa kesan yang buruk terhadap negara dan masyarakat. Kesan yang disebabkan oleh pemerdagangan manusia terhadap negara ialah menjatuhkan imej negara. Aktiviti pemerdagangan manusia yang berlaku secara meluas di negara kita akan menyebabkan negara lain menpunyai tanggapan yang negatif terhadap negara kita. Hal ini akan menyebabkan ekonomi di negara kita terbantut kerana pelabur asing tidak berminat untuk melabur di negara kita akibat aktiviti pemerdaganganmanusia yang berleluasa ini. Sektor pelancongan yang menyumbang kepada pendapatan negara ini turut terjejas kerana pelancong yang khuatir akan keselamatan sendiri tidak berani untuk melancong di Malaysia.
Pemerdagangan manusia juga akan menyebabkan kadar jenayah meningkat. Hal ini kerana kebanyakan penjenayah yang melakukan pemerdagangan manusia merupakan penjenayah yang terlibat dalam jenayah seperti pecah rumah, merompak, penggunaan dadah dan sekarang, mereka menjalankan pemerdagangan manusia untuk mencari sumber kewangan yang baru.
Antara langkah yang digunakan untuk mengatasi isu ini ialah kerajaan telah memperkukuh undang-undang yang berkaitan dengan pemerdagangan manusia. Akta Antipemerdagangan Orang 2007 telah dipinda pada tahun 2010 dan kini dinamakan sebagai Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. Pindaan dibuat agar menjadikan akta tersebut lebih komprehensif dalam menangani jenayah pemerdagangan orang, termasuk migran sekiranya migran itu ialah orang yang diperdagangkan. Denda untuk kesalahan pemerdagangan orang telah dinaikkan antara RM 500,000 hingga maksimum RM 1 juta.
Selain itu, semua agensi penguat kuasa yang terlibat dalam pembanterasan pemerdagangan manusia perlu mengambil tindakan bersepadu. Pelaksanaan tindakan persepadu ini menumpukan fokus terhadap koordinasi dan pertukaran maklumat semasa melakukan operasi. Agensi-agensi tersebut juga harus menyediakan sistem yang mudah untuk membolehkan orang ramai membuat laporan tentang jenayah ini dengan cepat. Sistem laporan dan perkhidmatan talian pula perlu bersifat mesra pelanggan dan efisien.
Seterusnya, kerajaan juga mesti meningkatkan program kesedaran awan bagi mendidik orang ramai tentang bahaya penjenayah pemerdagangan manusia termasuk implikasinya terhadap hak asasi manusia dan juga keselamatan negara. Sumbangan orang ramai dalam membanteras jenayah ini turut ditekankan. Maklumat pula akan disalurkan kepada masyarakat, terutamanya kepada golongan lelaki, majikan dan agensi-agensi pelancongan supaya mengurangkan permintaan yang boleh menjurus kepada berlakunya jenayah pemerdagangan manusia. Melalui program ini, masyarakat yang peka terhadap isu ini dapat dipupuk.
Di samping itu, kerajaan haruslah menyediakan tempat perlindungan dan kemudahan asas lain yang mematuhi standard minimum antarabangsa. Kemudahan asas dan keperluan yang dapat memberikan keselesaan kepada mangsa-mangsa pemerdagangan adalah diperlukan agar mereka selamat dan terkawal. Pusat pemulihan juga adalah penting untuk membantu mangsa-mangsa tersebut yang menghadapi trauma emosi dan mental dalam proses pemulihan mereka. Oleh itu, kerajaan memainkan peranan yang penting dalam mengatasi isu ini serta membantu mangsa-mangsa pemerdagangan manusia.

Pada pendapat saya, pemerdagangan manusia bukan sahaja menyebabkan mangsa pemerdagangan manusia menderita, malah juga menyebabkan keluarga mangsa tersebut menjadi porak-peranda kerana mereka kehilangan ahli keluarga yang tersayang. Penjenayah yang terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia haruslah dihukum kerana kegiatan ni telah mengakibatkan banyak masalah dalam kalangan mangsa seperti kecederaan fizikal dan mangalami gangguan emosi. Hal ini kerana mereka dipaksa untuk melakukan kerja yang tidak diingini contohnya bekerja keras sebagai buruh dan menjadi pelacur. Kebanyakan mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang biasa kerana dihantui oleh pengalaman yang menakutkan itu dan memerlukan masa yang amat panjang untuk pulih daripada trauma tersebut. Oleh itu, pihak berkuasa mestilah berusaha untuk menangkap penjenayah tersebut dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat dalam pemerdagangan manusia. Masyarakat pula mestilah bersifat peka, bertanggungjawab serta berganding bahu tanpa mengira kaum bagi membanteras kegiatan ini dalam negara kita.

No comments:

Post a Comment