Thursday, 10 September 2015

ISU PENDERAAN KANAK-KANAK (ANG SHI MIN)

Isu penderaan telah lama wujud dan menjadi masalah masyarakat di seluruh dunia termasuklah di Malaysia . Menurut Khaidir Hj. Ismail , Lukman Z.M. & Hanina H. Hamsan (2008 : 341-342) . Isu ini telah mula diberi perhatian serius selepas kes penderaan fizikal seorang kanak-kanak bernama Balasundram . Kanak-kanak ini dijumpai mati dengan kesan penderaan yang teruk pada awal tahun 1990-an . Kini , masalah penderaan kanak-kanak didapati semakin meningkat dan berlaku tanpa mengira sosioekonomi , agama , ideologi , umur dan jantina mangsa . Antara penganiayaan terlibat ialah jenis penderaan terdampar , diabaikan , fizikal , seksual , emosi atau psikologi dan lain-lain .

Khaidir Hj. Ismail , Lukman Z.M. & Hanina H. Hamsan (2008 : 348-349) berpendapat bahawa interaksi di dalam sistem kekeluargaan didapati menjadi faktor asas yang menyebabkan penderaan kanak-kanak berlaku . Dalam kajian Nor Shafrin , didapati 60% mangsa datang daripada keluarga yang ibu bapa mereka tidak tinggal lagi bersama kerana perceraian atau kematian . Sehubungan dengan itu , mangsa dipelihara sama ada oleh ibu sahaja , bapa sahaja , tinggal bersama keluarga tiri , bersama datuk dan nenek , diserahkan kepada keluarga angkat dan dipelihara oleh ahli keluarga lain seperti kakak dan ibu saudara . Keadaan ini menyebabkan hubungan dan interaksi mangsa dengan keluarga juga adalah kurang baik dan hal ini berkemungkinan besar akan menyebabkan berlakunya penderaan kanak-kanak .

Sebab seterusnya ialah pendidikan agama yang kurang dalam kalangan ibu bapa . Memang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan ibu bapa ada memperoleh didikan agama . Walau bagaimanapun , tidak ramai dalam kalangan ibu bapa yang mengamalkan ajaran agama mereka . Keimanan ibu bapa pula akan menjadi tidak utuh akibat daripada penghayatan agama yang tidak kuat . Jika penghayatan agama kuat , tidak mungkin ibu bapa akan berkelakuan bagai haruan makan anak-anak dan sanggup mendera darah daging sendiri . Sebagai orang dewasa , ibu bapa perlulah berfikir dengan alasan dan bukti yang nyata dan haruslah mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya terhadap anak-anak dan bukannya melepaskan garam kepada mereka . Kajian menunjukkan mereka yang sanggup mendera darah daging sendiri merupakan pasangan muda . Hal ini demikian kerana pasangan muda menganggap bahawa hidup mereka masih remaja dan tidak berfikir secara logik ataupun rasional . Selain itu , mereka pun belum bersedia untuk memikul dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa . Di samping itu , orang muda sering berdarah panas dan mudah naik marah dengan kesalahan-kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak seperti merosakkan harta benda rumah , menangis sepanjang waktu , menconteng buku dan sebagainya . Ini menyebabkan kesabaran ibu bapa mula cair dan anak-anak pula akan menjadi sasaran kemarahan ibu bapa .

Selain itu , media massa juga mempengaruhi pemikiran setiap lapisan masyarakat pada masa ini . Media massa yang berunsurkan aksi ganas kerap kali dapat kita saksikan di kaca televisyen seperti rancangan ‘WWE’ dan filem-filem yang berunsurkan pergaduhan seperti ‘Crows Zero’. Aksi-aksi yang diaparkan ini akan memanipulasikan pemikiran dan mengubah seseorang individu menjadi ganas. Secara tidak langsung , ibu atau bapa yang berasa sukar untuk mendidik anak-anak akan menggunakan kekerasan untuk mendidik anak-anak. Setiap aksi ganas yang telah mereka saksikan akan digunakan untuk mendidik anak-anak tanpa memikirkan kesan negatif perbuatan tersebut. Tanpa mereka ketahui, perbuatan tersebut merupakan penderaan bagi kanak-kanak. Sebagai ibu bapa kepada anak-anak perlulah belajar tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak supaya tidak menyakiti anak-anak yang tidak bersalah malah mereka memerlukan bimbingan daripada ibu bapa.

Memang kita tidak dapat dinafikan bahawa penderaan kanak-kanak banyak berlaku di Malaysia . Di negara kita , penderaan seksual banyak berlaku di kalangan kanak-kanak perempuan . Menurut Ann dan Khadijah , nisbah mangsa kanak-kanak perempuan terhadap mangsa kanak-kanak lelaki yang didera secara seksual ialah 25:1 . Kes yang dirujuk ke Hospital Universiti , Kuala Lumpur mendapati kanak-kanak lebih mengalami penderaan fizikal dan kanak-kanak perempuan didapati lebih mengalami penderaan seksual . Keadan ini menunjukkan kanak-kanak perempuan lebih kerap didera secara seksual berbanding dengan kanak-kanak lelaki . Lazimnya kanak-kanak dan kaum perempuan kerap menjadi mangsa kerana dianggap tidak berdaya , bergantung dan tidak berkuasa . Mereka dilihat sebagai inferior , mudah diperdaya dan lemah .

Seterusnya , kes ini juga sering berlaku di sesebuah keluarga yang mempunyai hubungan intim sesama ahli keluarga . Kebanyakan perkara merupakan ahli keluarga mangsa sama ada keluarga kandung , keluarga tiri atau keluarga angkat . Dalam keadaan ini , pendera menggunakan keakraban hubungan bersama mangsa bagi memudahkan mereka melakukan penderaan seksual . (Burgress & Holmstrom dalam Khaidir Hj. Ismail , Lukman Z.M. & Hanina H. Hamsan , 2008 : 347-348) . Keputusan Nor Sharifin juga menunjukkan individu yang kerap mendera mangsa seksual ialah bapa kandung, Dapatan beliau didapati menyokong statistik ibu Pejabat Polis Bukit Aman yang menyatakan bapa kandung merupakan individu yang paling ramai mendera mangsa secara seksual bagi tahun 2000 hingga Julai 2003 .

Menurut laporan ibu Pejabat Polis Bukit Aman , kejadian sumbang mahram banyak dilakukan oleh bangsa Melayu jikla dibandingkan dengan bangsa lain . Kajian tentang sumbang mahram di kalangan tiga bangsa iaitu Melayu , Cina dan India menunjukkan bahawa kejadian sumbang mahram di kalangan masyarakat Melayu kerap dilakukan oleh bapa kandung , bapa saudara dan sepupu . Manakala di kalangan masyarakat Cina , pencabul utama ialah bapa kandung dan bagi masyarakat India pula terdiri daripada bapa saudara dan abang ipar . Perbezaan statistik antara ketiga-tiga bangsa disebabkan oleh perbezaan budaya .

Merujuk kepada Khaidir Hj. Ismail , Lukman Z.M. & Hanina H. Hamsan (2008 : 351-352) , implikasi jangka panjang penderaan kanak-kanak seperti penderaan seksual akan menyebabkan mereka terjebak ke dunia pelacuran dan menjadi mangsa penderaan semula , sama ada menjadi mangsa penderaan seksual atau penderaan fizikal . Implikasi ini selaras dengan kajian Gilgun yang mendapati mangsa penderaan seksual kanak-kanak menjadi pelacur kerana melihat wanita sebagai objek seks . Mangsa juga didapati tidak mengadu atau berkongsi masalah dengan individu lain .

Manakala kesan yang lebih negatif akan dirasai oleh mangsa penderaan tersebut . Implikasi penderaan kanak-kanak umumnya dapat dilihat dengan jelas melalui kecederaan pada anggota fizikal mereka . Luka di kepala , badan dan muka akan memberi kesan yang tidak baik khususnya terhadap masa depan mereka apabila meningkat dewasa kelak . Hal ini secara tidak langsung akan mengundang berlakunya kecacatan fizikal sama ada serius atau tidak . Malahan ada sesetengah kes penderaan yang meragut nyawa mangsa itu sendiri . Contohnya , anak kepada pengerusi MIC S Karrigalan , 42 telah meninggal dunia akibat didera oleh jirannya .

Tambahan pula , penderaan kanak-kanak juga akan menjejaskan perkembangan emosi mereka . Sehubungan itu , mangsa akan menerima tekanan emosi yang mendalam yang akan mempengaruhi kehidupannya sehari-harian kerana hilang kepercayaan ke atas dirinya sendiri . Sebagai contohnya , mangsa akan menjadi lebih penakut untuk menghadapi masyarakat kerana trauma akan perlakuan penderaan ke asalnya . Di samping itu , hukuman deraan rotan seperti merotan dan memukul juga menyebabkan kanak-kanak sentiasa berkeadaan bimbang , menimbulkan rasa kecewa , hilang keyakinan diri sendiri dan fikiran mereka sering terganggu . Ibu bapa yang garang dan bengis akan membentuk kanak-kanak dilatih oleh guru mereka untuk berfikir . Mereka dibimbing oleh guru untuk perkembangan fizikal , mental , akhlak , kerohanian dan sosial yang baik . Sekiranya ibu bapa di rumah membentuk anak-anak bertentangan dengan nilai-nilai di sekolah , maka akan timbullah konflik dalam diri kanak-kanak tersebut . Dalam sesetengah kes pula , mangsa penderaan lebih cenderung bertindak dengan lebih agresif dan mengakibatkan mereka melakukan penderaan terhadap orang lain , sebagaimana yang diperlakukan ke atas dirinya . Apabila emosi mereka terjejas , ini akan menimbulkan kesan yang buruk ke atas perkembangan sahsiah kanak-kanak .

Untuk menyelesaikan masalah ini , pelbagai pihak patut bersinergi untuk menangani masalah tersebut daripada berlaku . Bagi membendung masalah-masalah seperti ini daripada terus menular dalam golongan yang tidak bertanggungjawab ini , masyarakat sendiri haruslah memainkan peranan mereka untuk membantu mengatasi gejala-gejala tersebut . Masyarakat haruslah membuang sikap “bagai enau dalam belukar , melepaskan pucuk masing-masing” dengan mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan keadaan di sekeliling mereka . Oleh sebab itu , masyarakat haruslah menanamkan sikap “jaga tepi kain orang” untuk mengetahui apa yang telah berlaku di sekeliling mereka terutamanya dalam usaha membendung gejala-gejala sosial tersebut daripada berlaku dalam kalangan remaja ataupun muda-mudi pada zaman moden ini . Sementelahan pula , masyarakat haruslah mempunyai semangat kejiranan yang tinggi . Hal ini amat penting bagi mereka untuk saling mengambil berat serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim . Tambahan pula , perpaduan antara masyarakat dapat dikukuhkan lagi . Hal ini secara tidak langsung dapat membantu membanteras gejala sosial daripada berlaku kerana adanya semangat bersatu-padu dalam kalangan masyarakat .

Satu lagi aspek penting dalam menangani masalah ini adalah melalui sesi bimbingan dan kaunseling . Pasangan yang berhasrat untuk berumah tangga diwajibkan untuk mengahdiri sesi-sesi ini . Bimbingan dan kaunseling ini bertujuan untuk menyedarkan mereka akan tanggungjawab selepas berkahwin . Alam perkahwinan atau berkongsi hidup jauh berbeza dengan kehidupan membujang . Hakikat ini harus difahami secara mendalam . Perkara yang lebih utama ialah mereka harus sedar akan kesusahan dan tanggungjawab apabila mempunyai anak . Pendedahan seperti ini perlu agar pasangan yang baru berkahwin lebih bersedia untuk menghadapi sebarang masalah . Pasangan yang baru berkahwin juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada kaunselor-kaunselor atau pakar-pakar psikologi . Dalam dunia yang serba canggih ini , bimbingan seperti ini sangat perlu dalam menangani penderaan ini .


Pada pendapat saya , punca berlakunya kes-kes penganiayaan kanak-kanak ini bermula dari rumah . Ibu bapa sepatutnya membela , memberi naungan dan memelihara hak kanak-kanak bagi menjamin kehidupan mereka yang sempurna . Ibu bapa haruslah berusaha untuk mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak . Selain itu , semua pihak juga perlulah bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah ini . Setiap pihak perlulah menggembleng tenaga untuk menyelesaikan masalah ini dan bukannya menuding jari ke arah pihak lain dengan mencari resolusi hingga ke akar umbi supaya gejala buruk ini dapat dibanteras dan dihalang daripada terus membelenggu setiap lapisan masyarakat di negara ini . Bak kata pepatah sikap bagai aur dengan tebing haruslah diamalkan antara satu sama lain . Hla ini penting bagi menjadikan negara kita bebas daripada gejala buruk supaya pembangunan negara tidak terjejas disebabkan oleh segelintir masyarakat yang tidak bermoral ini . 

No comments:

Post a Comment