Penderaan didefinisikan sebagai
perbuatan berbentuk dendaan atau hukuman terhadap individu di bawah jagaan
orang yan dipertanggungjawabkan kepadanya. Lazimnya, dendaan yang dikenakan
terhadap mangsa adalah kejam dan melebihi had hukuman yang sewajarnya
berdasarkan kesalahan yang dilakukan oleh mangsa tersebut. Penderaan ini juga
akan menyebabkan kecederaan pada tubuh badan atau kesan terhadap emosi. Penderaan
ini bukan sahaja berlaku di luar negara kerana kini, kes penderaan juga
didapati berlaku di Malaysia.
Penderaan boleh dibahagikan
kepada empat jenis iaitu penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan emosi
dan pengabaian. Penderaan fizikal melibatkan perlakuan yang dianggap salah dan
berbahaya kepada kanak-kanak (Ann dan Khadijah, 1997). Antara contoh perlakuan
ini ialah menendang kanak-kanak, memukul, mencubit, mengepit, merantai,
mengurung, menyimbah cecair panas terhadap mereka, mencucuh badan mereka dengan
api dan sebagainya. Pada tahun 2003, Ann dan Khadijah pula mendefinisikan
penderaan fizikal sebagai keganasan secara fizikal yang boleh menyebabkan
kecederaan otak, lebam yang teruk, kecacatan anggota tubuh, retak, patah
tulang, lecur atau terbakar, dicucuh dengan puntung rokok dan sebagainya.
Penderaan fizikal ini boleh membawa maut kepada dua jenis kanak-kanak iaitu
kanak-kanak yang cacat sejak dilahirkan dan kanak-kanak yang cacat akibat
daripada penderaan tersebut.
Penderaan seksual pula melibatkan
individu dewasa atau remaja sebagai pendera yang menggunakan kanak-kanak untuk
kepuasan seksual. Mangsa penderaan seksual didedahkan dengan aktiviti seksual
yang tidak difahami, tidak sesuai dengan umur dan perkembangan emosi mereka.
Kadangkala, kanak-kanak tersebut juga dipaksa untuk melakukan aktiviti seksual
atau menonton filem pornografi.
Penderaan emosi merujuk kepada
bentuk gangguan psikologi terutamanya dari segi mental dan emosi. Penderaan
emosi juga merangkumi perbuatan ibu bapa yang tidak memberikan kasih sayang yang mencukupi atau membenci
kanak-kanak tersebut, tidak menghiraukan, tidak melayan kerenah dan menyekat
pergaulan kanak-kanak. Menurut Akta Kebajikan Kanak-kanak di Kanada, penderaan
emosi berlaku sekiranya terdapat gangguan mental dan emosi dalam kalangan
kanak-kanak di samping gangguan tingkah laku seperti kemurungan, perasaan
cemas, suka mengasingkan diri, mudah menjadi agresif atau perkembangan diri
lambat. Antara sebab penderaan emosi adalah kerana penolakan, deprivasi kasih
sayang atau rangsangan kognisi, didedahkan kepada keganasan atau pertelingkahan
sengit dalam rumahtangga dan sebagainya.
Pengabaian pula ialah pengabaian
penjagaan oleh ibu bapa dan penjaga dari segi keperluan keselamatan, rawatan,
pendidikan, emosi dan fizikal (Kasmini, 1997). Pengabaian melibatkan aspek
fizikal dan emosi dan pengabaian berlaku apabila ibu bapa atau penjaga tidak
memenuhi keperluan mental dan fizikal anak-anak secara mencukupi sehingga
menjejaskan perkembangan anak-anak.
Isu penderaan ini boleh
disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor tersebut ialah ketegangan hidup
yang penuh dengan persaingan. Ketegangan ini menyebabkan ibu bapa mengalami
stres dan berasa tertekan, tetapi tidak mempunyai cara yang baik untuk
melepaskan tekanan tersebut. Oleh itu, mereka melepaskan geram terhadap orang
yang terdekat iaitu anak-anak mereka. Hal ini dikaitkan pula dengan perubahan
corak keluarga, iaitu pada masa ini kebanyakan keluarga merupakan keluarga
nukleus yang bermaksud keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak
mereka sahaja tanpa nenek, datuk, ibu saudara atau saudara lain yang duduk
serumah. Perubahan ini menyebabkan tiada orang yang boleh menolong anak-anak
yang didera ataupun menghentikan perbuatan mendera tersebut apabila kejadian
pederaan berlaku.
Selain itu, kekurangan didikan
agama dan moral dalam kalangan ibu bapa turut menjadi sebab berlakunya
penderaan. Hal ini kerana didikan agama dan moral adalah untuk membimbing
seseorang supaya sentiasa berkelakuan baik dan menghindarikan dirinya daripada
melakukan perbuatan yang jahat. Apabila ibu bapa kurang menerima didikan agama
dan moral sejak kecil, mereka mudah dipengaruhi oleh pengaruh luar yang tidak
baik dan tidak dapat membezakan perkara yang betul dan salah. Mereka juga mudah
hilang pertimbangannkerana tidak memikirkan dosa dan pahala malah berasa bahawa
penderaan bukan satu kesalahan. Hal ini menyebabkan mereka mudah melakukan
perbuatan yang salah seperti mencederakan anak-anak mereka dengan sengaja.
Sejarah pahit ibu bapa dari segi penderaan yang dialami ketika mereka kecil
juga menyebabkan kejadian penderaan berlaku. Terdapat ibu bapa yang juga
merupakan mangsa penderaan semasa kecil dan hal ini menjadi trauma kepada
mereka. Mereka akan cuba untuk mengeluarkan diri dari bayangan didera dengan
melepaskan geram dan kesedihan yang disebabkan oleh penderaan tersebut ke atas
orang lain dan malangnya, anak-anak mereka menjadi mangsa mereka.
Krisis keluarga turut menyumbang
dalam berlakunya kes penderaan kanak-kanak. Pergaduhan yang berlaku antara
suami isteri menyebabkan pihak suami atau isteri menjadi lebih garang daripada
sebelum ini lalu mencederakan anak-anak mereka dengan lebih mudah. Kata-kata
kasar yang dikeluarkan apabila pergaduhan antara suami dan isteri berlaku
sering berubah kepada penderaan emosi terhadap kanak-kanak kerana emosi mereka
yang rapuh kurang dapat menerima kata-kata tersebut, malah nada garang yang
digunakan oleh ibu bapa mereka semasa bergaduh mengejutkan mereka, menyebabkan
mereka terkejut dan takut lalu mengalami gangguan emosi.
Di Malaysia, isu penderaan
kanak-kanak ini boleh berlaku di mana-mana keluarga sahaja tanpa mengira
kedudukan dan kaum. Hal ini kerana setiap ibu bapa dalam sesebuah keluarga
berpeluang untuk menghadapi tekanan yang merangsangkan mereka untuk melakukan perbuatan
penderaan. Namun, isu ini banyak berlaku dalam keluarga yang miskin ataupun
mempunyai anak tiri. Keluarga yang miskin mengalami tekanan kehidupan yang
lebih tinggi kerana dibelenggu oleh kerunsingan tentang kemiskinan yang
dihadapi. Ahli dalam keluarga yang mempunyai anak tiri pula sangup mendera anak
tersebut kerana beranggapan bahawa anak itu bukan darah daging sendiri.
Isu penderaan anak-anak ini
membawa banyak kesan buruk kepada masyarakat dan negara. Antara kesan tersebut
ialah negara akan kehilangan bakal tokoh. Kesan yang dialami mangsa dera dan
gangguan emosi serta tingkah laku pendera secara tidak langsung menggambarkan
negara kehilangan potensi individu (Conte, 1991). Hal ini kerana keadaan
kanak-kanak yang berpotensi untuk menyumbang tenaga dalam pembangunan negara
pada masa hadapan berkemungkinan terpengaruh apabila mereka didera dan hal ini
akan menyebabkan mereka kehilangan keupayaan untuk meneruskan kehidupan mereka
secara normal. Negara akan mengalami kesukaran dalam membangun dan menjadi
sebuah negara yang maju. Tanpa modal insan yang berkualiti, sesebuah negara
akan menjadi lemah dan terancam.
Dari aspek masyarakat pula, isu
penderaan akan menyebabkan banyak masalah dalam kalangan masyarakat. Sebagai
contoh, mangsa penderaan akan mengalami masalah fungsi kognitif, tingkah laku
dan emosi yang sangat kuat. Mereka akan menjauhkan diri daripada masyarakat dan
tidak mempercayai orang lain kerana mereka pernah dicederakan oleh orang yang
tersayang. Hal ini mengakibatkan mereka untuk mengasingkan diri mereka daripada
masyarakat dan sebagai kesannya, mereka mengalami kesukaran untuk bergaul
dengan anggota masyarakat yang lain. Masyarakat juga berkemungkinan kehilangan
bakat kerana pastinya terdapat orang yang berbakat dalam kalangan mangsa
penderaan yang mengasingkan diri daripada masyarakat. Terdapat juga mangsa
penderaan yang mengalami gangguan emosi yang terlalu kuat lalu mencederakan
diri anggota masyarakat yang lain. Hal ini kerana mereka ingin melepaskan tekanan yang lama terpendam dalam
hati mereka. Namun, perbuatan ini mendatangkan bahaya kepada masyarakat kerana
mereka mungkin tercedera atau terbunuh.
Isu penderaan ini dapat diatasi melalui
penguatkuasaan undang-undang bagi melindungi hak kanak-kanak. Sebagai contoh, Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991
telah diluluskan bagi melindungi kanak-kanak saripada kes penderaan,
penganiyaan dan pengabaian. Akta tersebut merangkumi aspek menyeluruh hak
kanak-kanak dan menyentuh bahawa ibu bapa dan penjaga mempunyai kewajipan dalam
menjaga dan memberi perlindungan kepada kanak-kanak. Akta ini telah dimansuhkan
dan digantikan dengan Akta Kanak-kanak 2001. Akta ini pula telah menggabungkan
tiga akta yang berkaitan dengan remaja dan kanak-kanak iaitu Akta Perlindungan
Kanak-kanak 1991, Akta Mahkamah Juvana 1947 dan Akta Perlindungan Wanita dan
Gadis 1973.
Selain itu, kerajaan Malaysia
harus mengadakan kempen antipenderaan bagi mendedahkan isu penderaan ini kepada
masyarakat dengan lebih luas. Hal ini kerana tidak mempunyai pengetahuan yang
luas merupakan salah satu sebab masyarakat tidak menghulurkan bantuan kepada
mangsa penderaan. Meraka juga berasa takut untuk membuat demikian kerana takut
dibalas dendam oleh pendera. Dengan menggunakan cara ini, masyarakat akan lebih
bersikap peka terhadap kes penderaan kanak-kanak dan akan menghulurkan bantuan
kepada kanak-kanak yang didera tersebut seperti melaporkan kes-kes penderaan
kepada pihak polis. Hal ini penting agar kanak-kanak mendapat perlindungan yang
sepatutnya.
Seterusnya, kelas-kelas bimbingan
perlulah diadakan untuk pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga bagi
memberikan pendidikan keibubapaan kepada mereka. Pendidikan ini adalah amat
penting untuk memberikan kesedaran kepada pasangan yang hendak mendirikan rumah
tangga bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar yang perlu dipikul selepas
mereka berumah tangga. Melalui pendidikan keibubapaan ini, mereka akan lebih
jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan cara melayan pasangan
mereka dengan baik, maka masalah penderaan kanak-kanak dapat diatasi.
Pada pendapat saya, isu penderaan
kanak-kanak ini bukan lagi isu yang jarang dikenali kerana kita sering membaca
berita yang berkaitan dengan isu ini daripada surat khabar pada hari ini.
Walaupun kes penderaan yang banyak berlaku telah menyebabkan banyak kecederaan
dan kematian kanak-kanak dan menyakitkan hati orang ramai, perkara tersebut
tetap dilupakan oleh masyarakat selepas tempoh masa yang tertentu. Hal ini
menyebabkan saya berasa kesal kerana ini menunjukkan kekurangan kepekaan dalam
kalangan masyarakat terhadap isu penderaan ini dan kekurangan kepekaan inilah
yang menyebabkan penambahan kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Hal ini
disebabkan oleh fikiran pendera yang berasa bahawa perbuatannya adalah tidak
salah kerana tiada orang yang menghentikan perbuatan tersebut.
Tambahan pula, tekanan hidup yang
dilahirkan daripada kehidupan dan kerja yang terlalu tinggi menyebabkan orang
dewasa sanggup melepaskan perasaan geram dan stres mereka ke atas kanak-kanak
yang masih kurang berpengetahuan tentang dunia ini. Kanak-kanak yang didera
pula tidak berupaya untuk melindungi diri mereka kerana mereka masih lemahdan
kecil. Oleh itu, mereka terpaksa menanggung kederitaan dan kesakitan tersebut
berkali-kali sehingga diselamatkan oleh orang lain ataupun mati kerana
mengalami kecederaan yang terlalu parah. Hal ini memang menyedihkan saya kerana
kanak-kanak tersebut adalah tidak berdosa dan mereka tidak harus dijadikan
sebagai alat untuk melepaskan geram. Pendera juga tidak berhak untuk membuat
kanak-kanak tersebut menderita hanya disebabkan oleh kekurangan keupayaan
kanak-kanak untuk melarikan diri daripada penderaan mereka.
Saya berharap bahawa masyarakat
boleh bersikap lebih peka terhadap kes-kes penderaan yang berlaku di sekeliling
mereka dan bertindak untuk menghentikan penderaan tersebut. Mereka tidak perlu
menghentikan pendera menggunakan tenaga sendiri, tetapi hanya perlu melaporkan
perkara tersebut kepada pihak polis supaya kanak-kanak yang didera itu mendapat
perlindungan yang sepatutnya. Hal ini adalah amat penting supaya kanak-kanak
tersebut tidak lagi menderita dan mempunyai kehidupan yang normal seperti
kehidupan yang dilalui oleh kanak-kanak yang lain. Semua rakyat mestilah
berganding bahu untuk melindungi kanak-kanak dalam negara kita tanpa mengira
kaum dan agama kanak-kanak tersebut kerana semua kanak-kanak berhak untuk
mendapat perlindungan yang sama rata.
No comments:
Post a Comment